Karnival Kerjaya Pemuda BN: 24,000 Peroleh Pekerjaan


KUALA LUMPUR 27 Okt. – Seramai 24,000 penganggur dan lepasan universiti telah berjaya mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai bidang melalui penganjuran beberapa siri Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) sejak 10 bulan lepas.

Pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Husin berkata, karnival yang diperkenalkan Mac lepas telah berjaya membuka beribu-ribu peluang pekerjaan kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira latar belakang pendidikan.

“Kurang daripada 10 bulan kita telah melihat hasil positif penganjurannya, justeru kami berharap statistik ini dapat membuka mata semua pihak tentang usaha kerajaan BN menangani masalah pengangguran di kalangan golongan muda khususnya,” katanya kepada pemberita pada majlis prapelancaran karnival itu oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di sini, hari ini.

Karnival tiga hari itu yang akan bermula pada 18 November di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan disertai kira-kira 600 syarikat dan organisasi pelbagai sektor yang menawarkan lebih 30,000 jawatan kosong pelbagai peringkat termasuk untuk lulusan ijazah.

Nazir Hussin berkata, karnival itu merupakan yang terakhir tahun ini bagi siri karnival yang telah diadakan di pelbagai lokasi di seluruh negara. – Bernama

Advertisement




(Visited 144 times, 1 visits today)