Opsyen SBPA dilanjutkan Sehingga 15 Januari


PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam kepada 15 Januari depan, kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Dr Ismail Alias.
Beliau yang mengumumkan perkara itu berkata, bagaimanapun, tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan 60 tahun kekal pada 30 Disember ini.

“Kita akan meneruskan SBPA dan sebenarnya CUEPACS tidak menolak SBPA. Opsyen yang kita beri itu, ada dua. Pertama, opsyen umur persaraan 60 tahun itu tetap pada 30 Disember tarikh tutupnya kerana ia membabitkan banyak isu perundangan.
“Manakala opsyen SBPA, memandangkan tempoh itu agak terdesak, JPA bersetuju supaya ia dilanjutkan kepada 15 Januari depan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan rundingan dengan CUEPACS yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Omar Osman, di ibu pejabat JPA di sini, hari ini.

Rundingan itu yang berlangsung selama lebih tiga jam diadakan untuk menyelesaikan isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam, mengarahkan supaya CUEPACS dan JPA mengadakan rundingan segera bagi menyelesaikan isu tersebut.

Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.
Dr Ismail berkata, pada keseluruhannya, rundingan tersebut mendapat kata sepakat untuk melaksanakan sbpa dan lima isu termasuk ‘exit policy’ yang dibangkitkan oleh CUEPACS turut dibincangkan.

“Jadi dalam konteks ini, pendekatan kita ialah melihat kepada beberapa isu yang dikemukakan oleh CUEPACS, berbincang dan akhirnya mendapat persetujuan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, bagi penjawat awam yang sudah menandatangani surat tawaran opsyen SBPA, mereka tidak perlu bimbang kerana JPA memaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti yang ditetapkan cuma tempohnya akan dilanjutkan.

Sementara itu, Omar pada sidang media sama berkata, rundingan hari ini mencapai kata sepakat yang amat baik dan persetujuan bersama hari ini adalah jaminan kepada penjawat awam untuk menandatanganinya. – BERNAMA

Advertisement




(Visited 106 times, 1 visits today)